KPPA dilantik Profesor Adjung UiTM

1 week ago 12

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah.

Pelantikan berkuat kuasa 15 Ogos lalu hingga 2027 itu diserahkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin di Putrajaya semalam.

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan ia adalah sebahagian daripada usaha strategik UiTM untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan agensi utama kerajaan.

Katanya, ini khususnya dalam bidang pentadbiran awam, dasar, dan pembangunan kepimpinan.

“Pelantikan ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan agenda pembangunan modal insan, pemantapan sistem tadbir urus dan sistem penyampaian yang berkesan.

“Dengan pengalaman beliau sebagai KPPA, UiTM yakin peranan Profesor Adjung ini akan memperkayakan ekosistem akademik, memantapkan penyelidikan, serta menghubungkan universiti dengan keperluan sebenar pentadbiran negara,” katanya.

Sementara itu, Shahrin dalam kenyataan sama memaklumkan pelantikan ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara UiTM dan JPA.

“Melalui kepakaran dan pengalaman luas Wan Ahmad Dahlan, kita yakin akan ada lebih banyak inisiatif kolaborasi seperti penyelidikan, konvensyen perkhidmatan awam.

“Selain itu, perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada mahasiswa UiTM dan warga perkhidmatan awam negara,” ujarnya,” katanya.

Bagi Wan Ahmad Dahlan pula menyatakan komitmen untuk menyumbang kepakaran strategik, seiring dengan aspirasi menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa.

“Pelantikan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi juga amanah untuk memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sektor perkhidmatan awam demi pembangunan negara yang lebih gemilang dan berdaya saing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |