KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melaksanakan satu reformasi penting dalam memperkukuhkan ketelusan dan penyertaan awam menerusi pelaksanaan data terbuka (open data) oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkata, data terbuka itu melibatkan penerbitan senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di Kuala Lumpur.
“Buat pertama kali, maklumat rasmi itu diterbitkan secara dalam talian dan boleh diakses oleh orang awam menerusi ikon MyHijau di laman web rasmi ptgwp.gov.my.
“Langkah ini selari dengan tuntutan masyarakat sivil dan gabungan persatuan penduduk Kuala Lumpur yang sekian lama menuntut ketelusan berkaitan status kawasan hijau dan kawasan lapang,” jelas beliau ketika sidang akhbar di Bukit Rimba Kerinchi, dekat sini hari ini.
Menurut Hannah, kawasan hijau dan kawasan lapang memainkan peranan penting dalam bandar yang pesat membangun bukan sahaja sebagai ruang rekreasi, malah menyokong kesejahteraan penduduk, kesihatan mental, hubungan komuniti serta daya tahan bandar terhadap risiko banjir dan perubahan iklim.
Katanya, langkah berkenaan selari dengan tuntutan masyarakat sivil dan gabungan persatuan penduduk Kuala Lumpur yang sekian lama menuntut ketelusan berkaitan status kawasan hijau dan kawasan lapang termasuk yang dibangkitkan dalam sesi libat urus bersamanya pada 20 dan 21 Januari lalu.
Sehingga kini, sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan kawasan lapang telah diwartakan dan dipaparkan secara terbuka dalam peta interaktif lengkap dengan nombor lot serta lokasi terperinci.
“Inisiatif data terbuka ini juga disifatkan sebagai langkah awal ke arah melindungi kawasan hijau Kuala Lumpur untuk generasi akan datang.
“Kawasan hijau dan kawasan lapang memainkan peranan kritikal dalam bandar yang pesat membangun, bukan sahaja sebagai ruang rekreasi, malah menyokong kesejahteraan penduduk, kesihatan mental, hubungan komuniti serta daya tahan bandar terhadap perubahan iklim dan banjir,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE.

3 hours ago
2

















































