Keuntungan boleh agih akhir tahun Felcra melonjak 154 peratus

6 days ago 12

HULU TERENGGANU – Lebih 68,400 peserta Felcra Berhad (Felcra) bakal menerima durian runtuh selepas agensi itu mengumumkan bayaran keuntungan boleh agih akhir tahun 2024 berjumlah lebih RM192.51 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan keuntungan tersebut merupakan kenaikan RM192.5 juta atau 154 peratus daripada tahun 2023.

“Agihan keuntungan ini memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta di seluruh Malaysia melibatkan 583 projek yang mencatat keuntungan. Pembayaran dibuat secara berperingkat bermula hari ini,” katanya pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Kampung Kuala Akob di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, prestasi cemerlang keuntungan boleh agih keseluruhan tahun 2024 sebanyak RM521.9 juta iaitu peningkatan 138.4 peratus tersebut membuktikan dedikasi dan kerja keras Felcra dalam memperkasakan ekonomi luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembayaran interim satu dan dua masing-masing berjumlah RM96 juta dan RM129 juta telah dibayar pada Jun dan September tahun lalu.

“Peningkatan keuntungan boleh agih berkenaan membolehkan purata pendapatan bersih setahun seorang peserta Felcra meningkat kepada RM4,420 per hektar.

“Kejayaan ini didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan keuntungan boleh agih kepada peserta itu juga disumbang oleh pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran yang menyumbang kepada pengurangan kos lebih RM401 per hektar.

Sehubungan itu, beliau berharap agihan keuntungan yang lebih besar itu dapat menggembirakan peserta Felcra dan ahli keluarga mereka untuk merancang keperluan dengan lebih selesa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |