
- Oleh ZULKIFLI MANZOR
- 22 Ogos 2025, 6:27 pm
PETALING JAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan rasa syukur kedua-dua anak kapal yang terlibat dalam kemalangan pesawat F/A-18D Hornet dalam keadaan selamat.
Menurut beliau, Lembaga Siasatan akan mengenal pasti punca sebenar kemalangan seperti yang diumumkan oleh Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
“Sebagaimana yang saya selalu tegaskan, keselamatan anggota kita sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Dua juruterbang terbabit disahkan selamat namun dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE