PETALING JAYA – Kerajaan menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi pencarian walaupun sudah memasuki tahun ke-11 sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines 370 (MH370).
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, meskipun masa terus berlalu, ia tidak mengurangkan rasa duka dan ketidakpastian kepada waris penumpang dan kru pesawat MH370.
Ujar kenyataan tersebut, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan daripada Ocean Infinity (United Kingdom).
Cadangan tersebut adalah bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
“Operasi ini akan dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘no find, no fee,’ yang bermaksud tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemui.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan usaha pencarian bersandarkan petunjuk yang berwibawa demi menjejaki lokasi terakhir MH370, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh waris keluarga mangsa,” katanya.
MOT juga berkata, pihaknya sedar akan perhatian awam yang tinggi terhadap usaha pencarian ini, dan sedang giat memuktamadkan perjanjian pencarian baharu, selaras dengan prosedur kerajaan.
“MOT juga ingin memaklumkan bahawa United States National Transportation Safety Board (NTSB) dan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) telah melantik wakil bertauliah bagi memberikan sokongan teknikal kepada misi ini.
“Kerajaan menghargai kerjasama erat dan bantuan daripada semua pihak yang terlibat dalam salah satu usaha pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan,” katanya.
Dalam pada itu, MOT turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga dan waris mangsa kesemua penumpang serta kru MH370 di samping menegaskan bahawa usaha untuk mendapatkan jawapan masih diteruskan.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 hilang tanpa jejak selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pencarian pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlanjutan ke tahun ke-11 ekoran petunjuk yang semakin samar.
Selepas hilang dari radar, operasi mencari dan menyelamat dimulakan di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka keesokan hari selepas pesawat dipercayai berpatah balik. – KOSMO! ONLINE