Kerajaan setuju pertimbang bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Sarawak, Sabah ditambah

3 hours ago 3

KUCHING – Kerajaan Persekutuan bersetuju mempertimbangkan supaya bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Sarawak dan Sabah ditambah.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata perkara itu adalah antara beberapa tuntutan yang dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini.

“Bagaimanapun, ia memerlukan perincian dan perbincangan lanjut dari segi perundangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain itu, beliau berkata, persetujuan turut dicapai untuk pengiktirafan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) bagi projek bernilai bawah RM50 juta.

Pada masa sama, Fadillah yang juga pengerusi MTPMA63 berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengangkat Kertas Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak memperakukan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah dan Sarawak.

Seterusnya adalah penggantungan kuat kuasa Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 melalui Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di Parlimen pada Disember 2025.

“Perkara-perkara yang telah dipersetujui tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk penelitian dan keputusan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian.

Terdahulu, Fadillah berkata sehingga kini, terdapat 13 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 yang telah berjaya diselesaikan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |