Kerajaan jimat subsidi lebih RM4.22 juta, inisiatif bekerja dari rumah

3 hours ago 3

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya menjimatkan jumlah perbelanjaan subsidi lebih RM4.22 juta atau 2.14 juta liter bahan api menerusi pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, data itu direkodkan setakat 25 Mei selepas inisiatif itu dilaksanakan pada 15 April lalu.

“Perlu diingatkan sekali lagi, inisiatif BDR ini bukan bermaksud ‘baring, duduk, rehat’, (sebaliknya) ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lepas.

“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Majlis Apresiasi ‘Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness’ (ERAT) di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar.

Sebelum ini, pada 30 April lalu,kerajaan berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR yang melibatkan 200,000 penjawat awam.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, setiap ketua jabatan juga perlu memainkan peranan bagi memfokuskan kepada konsep TEGAS iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif bagi memastikan BDR dilaksana secara berkesan.

“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini.

“Saya juga mahu penjawat awam untuk mengimbas kembali nilai ‘MALAYSIA’ iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif semasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira status individu.

“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk datang, kita senyum berseri, tetapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |