KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat satu video tular di Facebook yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian memasang lampu berkelip biru berserta siren ketika melalui laluan sesak, dipercayai berlaku di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.
“Penelitian terhadap video yang tular juga tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.
“Semakan pada ruangan komen juga turut tidak menemukan sebarang maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perbuatan yang dipaparkan dalam video itu dipercayai melibatkan kesalahan di bawah Kaedah 138(1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 iaitu larangan pemasangan lampu amaran berkelip pada kenderaan selain kenderaan kecemasan yang dibenarkan.
“Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dituduh di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya terdapat unsur menyamar sebagai penjawat awam, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Saksi atau individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3



![[VIDEO] 40 orang perunding ‘tumbangkan tualang kebal’ Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/tualang.jpeg)













































