PETALING JAYA – Ibu kepada Zara Qairina Mahathir tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian anaknya itu dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau kenamaan (VVIP).
Barisan peguam yang mewakili Noraidah Lamat berkata, sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka.
Menurutnya, Noraidah juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan ‘kau pembunuh’ oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Anak guam kami juga tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan pada hari kematian Zara.
“Kesemua maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ia tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kami menyeru orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara Qairina, anak guam kami dan individu lain.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” ujarnya.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Terdahulu, polis telah melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar terbabit dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE