Kemalangan di Plaza Tol SKVE bongkar pemilikan dadah

5 hours ago 5

KUALA LANGAT – Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Plaza Tol Telok Panglima Garang Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) membongkar pemilikan dadah salah seorang mangsa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, dadah yang ditemui adalah jenis ganja dan syabu yang berada dalam kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 40an.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kereta jenis Toyota Corrola dipandu wanita berusia yang berusia 40an sedang memperlahankan kenderaannya untuk membuat transaksi bayaran tol.

Menurutnya, secara tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Chery dipandu seorang lelaki dari arah belakang telah melanggar kereta wanita berkenaan.

“Kereta lelaki berkenaan kemudiannya melanggar tembok pembahagi antara tol lalu terbalik.

“Ini menyebabkan lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkenaan cedera di kaki kiri, muka dan tangan serta telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu wanita tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akmalrizal menambah, siasatan turut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai lesen memandu.

Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui bahan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.07 gram (g) dan syabu seberat 1.17 g dalam kereta dipandu lelaki itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemandu wanita dan saksi bebas yang melihat kejadian itu telah hadir memberikan keterangan kepada polis,” ujarnya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 serta mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |