Kediaman terbakar di Kg. Bagan Pasir Laut dibina semula sebulan lagi

9 hours ago 5

BAGAN DATUK – Pembinaan semula 21 kediaman yang musnah akibat kebakaran di Kg. Bagan Pasir Laut di sini pada Sabtu lalu dijangka bermula dalam tempoh sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pengarah Pembangunan Negeri Perak berhubung perkara berkenaan.

“Mereka telah membentuk jawatankuasa bersama untuk menyegerakan kerja-kerja meratakan tanah yang akan dibuat dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Mereka juga akan mencari peruntukan bagi pembinaan secara standard rumah-rumah mengikut ukuran tanah berdasarkan geran atau surat kelulusan lesen pendudukan sementara (TOL),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau kawasan terjejas kebakaran tersebut sebelum menyampaikan bantuan kebajikan kepada mangsa-mangsa terjejas dengan kejadian tersebut di sini.

Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbangkan RM4,000 bagi setiap keluarga terjejas selain sumbangan RM100,000 oleh Persekutuan Agama Buddha Tantrayana Chen Foh Chong Malaysia (PABT Malaysia) kepada semua mangsa berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, peruntukan sedia ada bagi pembinaan setiap unit kediaman tersebut ialah RM86,000, namun beliau yakin sumbangan pelbagai pihak kepada mangsa bencana itu akan digunakan sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.

“Saya yakin wang-wang derma tadi mereka mungkin nak buat extension (tambahan) dan sebagainya. Itu kita serahlah kepada keluarga masing-masing,” katanya yang juga Menteri KKDW.

Menurut beliau, pihak KKDW, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kerajaan negeri perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga jabatan-jabatan lain telah melakukan penyelarasan berkenaan status TOL mangsa terjejas.

“(Hari ini) kita menyerahkan TOL ini kepada tiap-tiap ketua keluarga dan rumah kedai yang terlibat dalam kebakaran,” katanya yang turut memberitahu, kampung berkenaan mempunyai 149 buah rumah dengan 21 daripadanya terjejas dalam kebakaran itu.

Dua lagi yang terjejas, menurut Ahmad Zahid, ialah sebuah premis perniagaan dan tokong yang mana seorang individu telah tampil menyampaikan sumbangan peribadi dan berjanji untuk membantu membina semula rumah ibadat itu.

“Lebih penting sekali ialah kerjasama daripada masyarakat pelbagai kaum di Kg. Bagan Pasir Laut ini yang telah membantu terutamanya menempatkan keluarga terjejas kebakaran itu tinggal di rumah saudara mara atau kawan-kawan.

“Pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi agensi dan jabatan yang ada telah saya minta menyegerakan pembinaan semula walaupun ada kekangan,” katanya.

Beliau berkata, antara kekangan itu adalah status sebilangan penduduk terjejas berkenaan yang tidak mendaftar dengan e-Kasih kerana kebanyakannya mereka bukan tergolong dalam kumpulan B40.

“Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan Persekutuan dan negeri akan cari jalan untuk menyantuni permasalahan yang menimpa mereka dan kita akan selesaikan pembinaan semula rumah-rumah berkenaan, begitu juga kedai dan tokong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |