Kebangkitan luar biasa Pearly-Thinaah di Indonesia

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Sorakan padu penyokong tuan rumah langsung tidak menggugat semangat Pearly Tan-M. Thinaah apabila beregu wanita negara itu bangkit menewaskan gandingan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mara ke suku akhir Terbuka Indonesia, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung penuh dramatik itu, Pearly-Thinaah yang turun dengan status sebagai beregu No. 4 dunia, dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 18-21, 21-16, 21-17 ke atas lawan ranking ke-20 dunia tersebut dalam masa 59 minit.

Kemenangan itu bukan saja bermakna buat pasangan negara, malah cukup ‘manis’ kerana berjaya menebus kekalahan rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tersingkir kepada lawan sama pada pusingan pertama.

Bagi Thinaah, kekuatan mental dan sokongan pasukan menjadi kunci kebangkitan mereka di Istora Senayan.

“Saya rasa sedikit lega. Ya, sudah tentu bukan mudah untuk bermain dengan mereka. Kami sudah bertemu beberapa kali.

“Tetapi saya rasa hari ini apa yang benar-benar membantu kami berdua adalah satu sama lain dan juga jurulatih yang tidak berputus asa dengan kami.

“Terus beri motivasi walaupun kami agak ketinggalan jauh, tapi kami tak biarkan ia jejaskan semangat. Kami terus berjuang satu mata demi satu mata dan itu sangat membantu,” katanya.

Pearly-Thinaah kini bakal menanti pemenang antara rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting atau pasangan pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di suku akhir esok.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik selepas mengetepikan cabaran sengit Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi 14-21, 21-11, 21-15 dalam masa 48 minit.

Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun tetap perlu bekerja keras dan dijangka berdepan ujian getir di suku akhir apabila bakal menentang antara pilihan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |