MELAKA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengesan sekiranya wujud elemen oportunis politik yang menunggang isu Kampung Sungai Baru sehingga membawa kepada insiden Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi dibaling objek keras, pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan menunggang isu berkenaan bagi mencetuskan ketegangan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Kita akan mengesan jika ada elemen yang bersifat political opportunist yang terang-terang menunggang isu ini untuk menimbulkan ketegangan dan keresahan, sepintas lalu mereka (ingin) dilihat membela tetapi sebenarnya tampil dengan menghasut serta menyebarkan maklumat palsu.
“Gejala ini jika tidak dibendung ia akan menyebabkan keadaan yang tidak tenteram di tengah-tengah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kepada Filipina di Banda Hilir di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan Madani hari ini kekal dengan pendirian menghormati hak rakyat untuk berhimpun seperti mana dijamin dalam Perlembagaan, namun setiap pihak perlulah memikul tanggungjawab masing-masing.
“Kita kekal dengan pendirian menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan rekod kita selama tiga tahun membuktikan bagaimana setiap kali pemberitahuan tentang perhimpunan diadakan pihak polis sentiasa memudahcarakan.
“Saya semak rekod hampir 98 peratus daripada notis pemberitahuan kepada pihak polis untuk satu perhimpunan diadakan semuanya diberikan fasilitasi oleh pihak polis. Ini membuktikan bagaimana kita menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun seperti mana dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.
Tegasnya lagi, tanggungjawab peserta adalah menggunakan kebebasan berhimpun untuk menyampaikan suara, namun perbuatan mencederakan penjawat awam adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.