Kampung Sungai Baru: RM62.57 juta pampasan diberi kepada pemilik

3 hours ago 4

PUTRAJAYA – Sejumlah RM62.57 juta bayaran pampasan telah diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Dr. Khairul Nizam Othman berkata, penentuan bayaran pampasan itu dibuat oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

Jelasnya, menerusi tawaran usaha sama, pemilik rumah flat akan memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM884,000 sehingga RM1 juta.

Manakala, pemilik rumah teres pula akan memperoleh antara tiga hingga sembilan rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta.

“Proses pengambilan tanah bagi 110 unit membabitkan 72 petak strata, 37 lot rumah teres dan satu lot Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diwartakan di bawah Seksyen 4 APT pada 18 Jun 2021 dan Seksyen 8 pada 21 Jun 2021.

“Pampasan meliputi nilai hartanah, kos selenggara, kos pindah, sewa sementara, kehilangan pendapatan, fi penilaian dan kos hadir bicara,” katanya menerusi sesi Taklimat Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru di Menara Sri Wilayah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi pemilik rumah flat, tawaran diberikan kepada mereka yang terbabit dalam pengambilan tanah akan mendapat sebuah rumah dengan harga yang berpatutan.

Jelasnya, ia membabitkan sebuah kediaman berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki dengan harga separuh daripada jumlah pampasan diterima oleh pemilik rumah flat Kampung Sungai Baru.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima tawaran pampasan berjumlah RM250,000, boleh memiliki tawaran pakej harmoni dengan harga RM125,000. Tawaran ini sudah dikemukakan oleh pemaju kepada pemilik yang memohon pada 16 Mei 2022 dan sejumlah 11 unit flat menerima tawaran pemaju itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |