Kakak sudah berpisah dengan suami – Adik mangsa

7 hours ago 4

GEORGE TOWN – Keluarga kepada wanita yang ditemui mati bersama anak perempuan berusia dua tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, di sini masih terkejut dengan berita kematian dua beranak itu.

Adik kepada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, dia menerima makluman mengenai kejadian menimpa kakaknya yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu daripada pihak polis, semalam.

“Kami masih terkejut dengan kejadian ini, kami masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian. Bedah siasat telah bermula pada pukul 9.15 pagi tadi.

“Kami pun tidak dapat komen dengan lanjut hal ini kerana masih bersedih, namun kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

Menurut Noor lagi, keluarga mereka juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

Kata wanita tersebut, kakaknya itu tidak bekerja dan tinggal di rumah miliknya sendiri bersama anak perempuan.

“Dia telah berpisah dengan bekas suami, saya tidak pasti berapa lama mereka berpisah. Kami memang selalu berhubung menerusi telefon dan WhatsApp, saya juga bertemunya bulan lalu kerana dalam tujuh beradik kami, hanya saya dan arwah kakak yang tinggal di Pulau Pinang.

“Adik beradik kami yang lain tinggal di luar Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu kedua-dua ibu bapa mereka juga telah meninggal dunia.

Jelasnya lagi, dia juga tidak tahu mengenai status kesihatan kakaknya itu memandangkan kakaknya tidak pernah bercerita mengenai hal-hal peribadi.

“Apa yang saya tahu kakak saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit,” katanya jenazah kakak serta anak saudaranya itu akan dikebumikan di Pulau Pinang selepas selesai proses bedah siasat.

Bagaimanapun tambahnya, lokasi pengebumian masih belum ditetapkan lagi dan menunggu keputusan bedah siasat. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |