‘Kadang-kadang rasa lebih Melayu berbanding orang Melayu’

6 days ago 14

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Dr. Soo Wincci, 40, bagaikan tidak percaya sudah 14 tahun mengamalkan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di Bulan Ramadan.

Menurut Wincci, dia mendapat banyak kebaikan terutama dari segi kesihatan dengan mempraktikkan amalan berpuasa.

“Saya ingat paling maksima saya akan berpuasa adalah lima tahun sahaja. Tetapi tahun ini sudah tahun ke-14. Setiap tahun saya akan belajar perkara baharu.

“Seperti tahun ini, akhirnya saya faham apa yang tubuh saya perlukan untuk bertahan selama 13 jam berpuasa. Jadi saya cipta resepi bebola kurma untuk dimakan sewaktu sahur.

“Saya kongsikan resepi tersebut dalam akaun media sosial dan tidak sangka menjadi viral. Setiap hari aaya akan terima beratus mesej daripada netizen yang memberitahu mereka telah mencuba resepi saya dan dapat bertahan sehingga waktu berbuka tanpa rasa lapar. Siapa sangka seorang yang bukan Muslim menjadi viral di bulan puasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengimbau semula ke detik pertama kali pelakon filem Kau Yang Satu itu berpuasa, kata Wincci, pada mulanya dia turut mengalami kesukaran untuk menahan lapar dan dahaga.

“Mula-mula dulu memang susah. Saya pula memang ikut betul-betul waktu berpuasa dan berbuka seperti orang Islam. Lama-kelamaan saya mula membiasakan diri. Malah saya juga turut berpuasa enam dan mengamalkan puasa sunat hari Isnin dan Khamis.

“Waktu saya mula mengamalkan puasa di bulan Ramadan, ada pihak yang mengutuk saya dan mempersoalkan tindakan saya untuk berpuasa dan mengikut orang Islam.

“Tetapi hari ini saya lihat makin ramai orang bukan Islam turut mengamalkan puasa di bulan Ramadan. Termasuklah pempengaruh media sosial, Ceddy yang sudah dua tahun berpuasa. Sebenarnya berpuasa adalah baik untuk kesihatan tubuh. Perut anda berehat daripada bekerja. Dan menjadikan saya lebih fokus,” kongsinya.

Tambah bekas Ratu Cantik Malaysia World 2008 itu lagi, dia turut menyambut Hari Raya Aidilfitri sama seperti umat Islam yang lain.

“Kadang-kadang saya rasa saya lebih Melayu daripada orang Melayu. Hari raya saya wajib ada ketupat dan rendang. Bagi saya makanan ini sangat istimewa untuk dimakan sewaktu hari raya.

“Malaysia adalah negara yang sangat unik. Saya pernah menetap di Sepanyol sewaktu menyambung pelajaran. Makanan di sana sangat bosan. Makanan kita ada banyak variasi. Jadi kita bertuah kerana boleh mencuba pelbagai jenis makanan tradisi daripada setiap kaum yang ada di sini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wincci yang juga merupakan bekas peserta Masterchef Selebriti musim pertama ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama sepanjang bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |