LANTANG menyuarakan kenaikan isu pajak atau sewa premis serta perniagaan, penyanyi Inul Daratista tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana parti politik agar perjuangannya lebih didengar.
Melihat senario semasa, selain sedar pendidikannya tidak tinggi, pemilik nama lengkap Ainur Rokhimah, 46, itu lebih selesa meneruskan karier dalam arena muzik serta menguruskan perniagaan karaoke dan restoran.
“Memang saya tidak mahu terbabit dalam politik. Saya bersuara sebelum ini pun sebab pajak yang naik sekali gus turut menjejaskan perniagaan saya.
“Saya sedar kemampuan diri dan tahap pendidikan juga tidak tinggi. Biarlah rakan lain (artis) yang mempunyai kebolehan ke arah itu (politik).
“Menjaga diri sekiranya menjadi wakil rakyat bukan sesuatu yang mudah. Saya takut tidak amanah. Cukup saya jadi penghibur dan usahawan sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsertnya di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.
Mengenai Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ pada 6 Disember depan, ibu anak satu itu mengakui pelawaan penganjur, Fajar Baiduri Empire umpama bulan jatuh ke riba.
Dua dekad tidak beraksi di pentas mega di Malaysia membuatkannya tidak berfikir panjang untuk menghiburkan peminat yang cukup dekat di hatinya.
Bakal beraksi di Setia Spice Arena Pulau Pinang, penghibur yang terkenal dengan trademark goyang gerudi itu terus mengadakan latihan intensif sebaik menyambut tawaran beberapa bulan lalu.
Malaysia rumah kedua
Menganggap negara ini sebagai rumah kedua, Inul yang menjadi juri Maharaja Lawak Mega 2019 mengakui kerap ke Kuala Lumpur menikmati percutian bersama keluarga.
“Memang kali terakhir beraksi di sini sekitar 20 tahun lalu. Kemudian pada 2019 saya terbabit dalam penjurian program realiti terbitan Astro yang mengambil masa hampir dua bulan.
“Walaupun selepas itu tiada lagi konsert atau rancangan televisyen di Malaysia, saya dan keluarga selalu bercuti, bukan hanya di Kuala Lumpur, malah negeri lain.
“Peminat juga ramai. Mereka menyambut saya dengan tangan terbuka.
“Selain itu, makanan pun banyak variasi yang enak. Setiap negeri ada juadah istimewa. Kiranya Malaysia sudah jadi rumah kedua saya,” katanya.
Tidak keseorangan, pada konsert yang dijadualkan berdurasi dua jam, Inul akan ditemani dua penyanyi dangdut Malaysia, Baby Shima dan Amelina.
Katanya, Amelina merupakan sahabat lamanya, manakala Baby Shima pula anak didiknya yang sebelum ini kerap berkongsi pentas dengannya di Jakarta.
“Kedua-duanya teman saya. Jadi peluang ini adalah sesuatu yang istimewa apabila menggabungkan dangdut Indonesia dan Malaysia.
“Saya difahamkan lokasinya mampu menampung sekitar 5,000 penonton. Saya harap rakan senegara yang ada di sini dapat sama-sama memeriahkan konsert,” ujarnya.
Tiket bagi menyaksikan konsert anjuran Fajar Baiduri Empire itu sudah mula dijual menerusi www.myticket.asia.