Inkues Zara Qairina: Kemungkinan arwah tergelincir, jatuh secara terus tipis

9 hours ago 5

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari keenam hari ini tertumpu kepada dua senario simulasi bina semula jatuhan menggunakan tiga patung.

Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner menyatakan bahawa senario kedua lebih hampir dengan dapatan perubatan.

Menurutnya, senario pertama melibatkan patung dalam keadaan duduk sebelum ditolak dari belakang yang menyebabkan patung jatuh dengan muka menghempap tanah pada jarak lebih jauh dari bangunan.

“Dalam senario kedua, patung dijatuhkan secara berdiri dan mendarat ke dalam parit berhampiran bangunan dengan kedudukan kedua-dua kaki.

“Senario kedua ini lebih hampir dengan keadaan sebenar berdasarkan dapatan perubatan kerana mangsa didapati mendarat dengan kedua-dua kaki sebelum bahagian belakang kepala menghentak permukaan keras,” katanya.

Dr Jessie menjelaskan dua parameter utama yang dibandingkan dalam simulasi ialah kecederaan pada kaki dan jarak tubuh dari bangunan.

Menurutnya senario kedua menunjukkan ciri yang lebih konsisten dengan kecederaan yang dialami arwah termasuk patah pada tulang tibia dan calcaneum (tumit).

Merujuk kepada eksibit I2, Dr Jessie turut menerangkan mengenai beberapa tanda tompokan gelap yang dilihat pada tubuh arwah antaranya di belakang leher, dada kiri, abdomen kiri, lengan, siku, lengan bawah serta bahagian belakang paha.

“Tompok gelap itu berkemungkinan kesan kulit mereput atau tanda lain. Saya cuba menanggalkannya tetapi ia melekat pada kulit,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai punca hematoma, Dr Jessie menyatakan kecederaan boleh berlaku akibat hentakan objek tumpul namun dalam kes ini ia lebih konsisten dengan kecederaan jatuhan dari ketinggian.

Dr Jessie turut bersetuju bahawa kecederaan yang dialami arwah adalah konsisten dengan keadaan mendarat menggunakan kaki sebelum belakang kepala menghentak tanah.

Dr. Jessie berkata, berdasarkan proses bina semula, kemungkinan arwah tergelincir dan jatuh secara terus ke bawah adalah tipis.

“Untuk sampai ke lokasi ditemui, tubuh mangsa mesti teranjak ke hadapan sebelum mendarat dengan kaki terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |