Inkues: Arwah Zara Qairina terima rawatan diperlukan

1 week ago 13

KOTA KINABALU – Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sudah menerima rawatan diperlukan ketika dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Janefer Voo menyatakan, pesakit diberikan resusitasi ketika itu untuk menstabilkan keadaannya.

Dr. Janefer berkata, hasil diagnosis pesakit berdasarkan laporan perubatan dan pemeriksaan pesakit mengalami polytrauma yang tidak diketahui mekanisme kecederaannya.

“Hasil diagnosis ini dalam muka surat lima (laporan perubatan), di mana pesakit mengalami polytrauma iaitu mekanisme kecederaan tidak diketahui.

“Kecederaan yang dialami ialah severe traumatic brain injury dengan pendarahan otak hypoxic ischemic injury, bengkak belakang kepala dan luka, closed fracture hujung tulang radius tangan kiri, closed fracture hujung tulang tibia dan buku lali kaki kanan, open fracture hujung tulang tibia dan buku lali sebelah kiri dan juga patah tulang kaki kiri.

“Juga kepatahan tulang lumbar dua, tiga dan empat, darah beku pada pelvis dan otot psoas kiri,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad yang bertanya mengenai keadaan arwah Zara Qairina ketika pihaknya bersama pasukan memeriksa dan merawat pesakit pada ketika itu.

Ketika Badiuszaman mengajukan pertanyaan mengenai ‘rate of survival’ pesakit pada masa itu, Dr. Janefer berkata, dia tidak pasti, namun mengikut penilaian awal pesakit dalam keadaan sangat kritikal dan tidak stabil.

Bagaimanapun, Dr. Janefer menerangkan proses rawatan yang diberikan kepada arwah Zara Qairina bermula dari ‘trauma alert’ yang diaktifkan selepas pemeriksaan awal terhadap pesakit.

Menurutnya, ia adalah proses resusitasi yang telah dijalankan dan turut dihadiri doktor lain.

“Yang pertama bagi ‘airway’ yang melibatkan proses intubasi, memasukkan tiub pernafasan dan pesakit diberikan resusitasi air selain memerlukan transfusi darah bagi menstabilkan tekanan darah pada masa itu.

“CMT ‘close manipulative reduction’ juga telah dibuat oleh doktor bahagian ortopedik bagi membetulkan tulang kaki kiri yang terkehel teruk.

“Selain itu pasukan ortopedik telah meletakkan cement plaster backslab pada tangan kiri dan juga kedua kaki, manakala luka belakang kepala dijahit bagi mengawal pendarahan,” katanya.

Sementara itu, menerangkan tentang keadaan pesakit sepanjang berada di jabatan kecemaaan, Dr. Janefer berkata, pesakit tidak stabil dan dalam keadaan kritikal kerana memerlukan resusitasi air dan produk darah selain ubat bagi membantu menstabilkan tekanan darah.

“Selain itu, luka belakang kepala dijahit bagi mengawal pendarahan. Semua proses ini dilakukan bersama pasukan trauma hinggalah keputusan makmal dan pengimejan tersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |