PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji aksi barisan pemainnya ketika membelasah Penang FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Munoz, 45, berkata, pemain berjaya mengikut perancangan dan memberikan persembahan memukau di hadapan penyokong di laman sendiri apabila pemain berjaya menjaringkan lima gol pada babak pertama perlawanan.
“Pemain menunjukkan mutu permainan yang memberangsangkan selain mengawal permainan dengan baik, tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana membuatkan penonton di stadium terhibur.
“Ini adalah tahap permainan yang kita mahukan, kita masih dalam proses membentuk pasukan yang hebat dan saya percaya prestasi pemain akan lebih mantap tidak lama lagi,” katanya.
Enam gol JDT diperoleh menerusi dua jaringan Arif Aiman Hanapi dan masing-masing satu daripada Jairo, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Antonio Glauder.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, kelicinan jentera serangan Harimau Selatan masih boleh dipertajamkan lagi dengan meningkatkan tahap keserasian antara pemain.
Katanya, setiap kali membuat serangan, ramai pemain JDT berada di zon mereka dan tidak boleh terlalu gopoh dan ‘membaca’ permainan dengan sebaiknya bagi memastikan setiap serangan dilakukan tidak disia-siakan.
“Pemain perlu mencari keseimbangan dan tidak boleh terburu-buru, pemain perlu jelas dengan setiap tindakan yang diambil. Pada perlawanan tadi, kita hanya mampu menjaringkan satu gol pada babak kedua perlawanan.
“Banyak peluang keemasan untuk mencipta jaringan gagal disempurnakan sebaiknya pada babak kedua itu. Ini yang perlu diperkemaskan lagi,” katanya.
Mengulas mengenai penampilan pertama Ager Aketxe dan Raul Parra, katanya, walaupun masih baru bersama pasukan, namun mereka dapat beraksi dengan baik pada perlawanan itu.
“Aketxe seorang pemain berpengalaman, dia telah membuka ruang kepada jentera serangan untuk lebih ke hadapan. Parra pula tampak tenang di barisan pertahanan.
“Mereka tahu apa yang kami perlukan, saya kira mereka tidak akan mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri setelah kerap berlatih bersama bagi melalui jadual perlawanan yang padat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE