Imigresen gempur flat Seksyen 8, 23 PATI ditahan

11 hours ago 5

SHAH ALAM – Tiga bersaudara warga Indonesia yang lena dibuai mimpi terkejut apabila rumah mereka ‘dikunjungi’ anggota Imigresen dalam kejadian di flat kos rendah Seksyen 8 di sini, malam tadi.

Mereka antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 2 hingga 60 tahun yang ditahan dalam Ops Kutip bermula pukul 9 malam.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi tersebut pada mulanya mendapati pintu dan jeriji rumah tiga bersaudara itu tidak berkunci dengan sebuah telefon ditinggalkan di atas meja di unit tingkat tiga flat berkenaan.

Anggota Imigresen yang curiga seterusnya melakukan pemeriksaan sebelum menahan ketiga-tiga mereka termasuk dua beranak dalam dua bilik berasingan.

Salah seorang daripada mereka dikenali Ehsan, 22, berkata, dia sedang tidur selepas penat bekerja sebagai pembantu kedai di sekitar daerah ini.

Katanya, dia memasuki negara ini bersama ibunya sebelum tinggal bersama ibu saudaranya.

“Sudah lapan bulan saya tinggal di sini dan ini kali pertama tertangkap selepas pasport tamat tempoh sejak dua tahun lalu.

“Gaji saya RM2,200 sebulan sebagai pembantu kedai dan ibu pula tak bekerja manakala bapa sudah tiada (meninggal dunia) ,” katanya.

Sepanjang operasi yang disertai 29 anggota termasuk pegawai itu mendapati ada PATI yang ditahan ketika sedang makan di luar rumah, turun daripada tangga dan baru sahaja pulang membeli barangan dari kedai berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, sebanyak tiga buah blok di flat berkenaan diserbu dengan kita terpaksa mengambil masa bagi pemeriksaan kerana penghuni rumah lambat membuka pintu.

Malah, katanya, terdapat pintu yang terpaksa dipecahkan kerena gagal mendapat kerjasama daripada penghuni.

“Kita turut mendapat provokasi dari seorang warfa Bangladesh yang tidak berpuas hati rumahnya di ketuk. Namun pemeriksaan mendapati dia ada pass kerja sah.

“Siasatan mendapati ada kalangan PATI menyewa bilik serendah RM200 sebulan manakala sebuah rumah antara RM700 hingga RM900 sebulan,” katanya hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan mendapati kesemua PATI telah memasuki negara melalui Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta berada di Malaysia lebih daripada enam bulan.

“Sepanjang operasi kita memeriksa 27 warga asing dan menahan 23 PATI meliputi warga Indonesia, Pakistan dan Bangladesh.

“Kesemua yang ditahan dihantar ke
Depoh Imigresen Semenyih dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |