PETALING JAYA – Nostalgia iklan Deeparaya 2005 yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini menggamit memori khususnya buat sesiapa membesar sekitar tahun 90-an.
Buat mereka yang tidak tahu, ketika tahun tersebut, Malaysia menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali pada waktu yang sama.
Jadi, iklan terbitan Petronas pada tahun itu menekankan tentang masyarakat majmuk yang hidup berjiran meraikan perayaan masing-masing dalam suasana harmoni.
Di dalam klip video itu ia menceritakan kisah antara Suparjo dan Raju yang berkawan baik semasa kanak-kanak dan kembali berjumpa ketika mereka dewasa dan berjiran.
Selain itu, lagu ‘ikan di laut asam di darat, dalam periuk bikin muafakat’ yang popular dalam video iklan itu pernah juga menjadi siulan di bibir orang ramai pada tahun tersebut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mengakui rata-rata pengguna media sosial yang menonton klip video iklan raya tersebut mengakui kini mereka sudah pun berada di usia sekitar 20-an, malah ada juga mencecah sehingga 40-an.
“Iklan macam ni pun aku nangis. Dulu tengok rasa biasa je. Budak-budak zaman ni mesti dah dekat 40-an kan, komen Siz.
“Nostalgianya. Saya umur 30 tahun ni hadir. Rindunya iklan raya lama-lama dulu. Masa kecil memang selalu nyanyi ikan di laut asam di darat ni,” komen Lily.
Dalam pada itu, ruangan komen video juga penuh dengan pengguna India di mana rata-rata mereka mengakui mempunyai kawan baik dan hubungan rapat dengan kaum Melayu.
“Masa ni saya tak tahu apa itu ‘racist’. Apa itu gaduh, ini negara siapa. Apa yang saya tahu kawan sahaja dengan kawan Melayu,” komen Bavani.
“Tutup semua media sosial. Sebelum ada media sosial kita tak pernah dengar gaduh-gaduh macam sekarang. ‘Come on, we are Malaysian,'” kata Karthik.
“Kita semua baik-baik sahaja. Selamat berpuasa kaum Melayu dan Islam semua,” komen Karan. – KOSMO! ONLINE