Hukum akupunktur dalam Islam

3 weeks ago 8

ASSALAMUALAIKUM, baru-baru ini tular isu berkenaan akupunktur merupakan satu rawatan yang mungkin menggunakan sihir. Jadi, mohon pencerahan berkenaan isu ini.

JAWAPAN: AKUPUNKTUR merupakan salah satu kaedah rawatan tradisional Cina yang semakin diterima di seluruh dunia termasuk dalam masyarakat Islam. Perubatan ini semakin mendapat perhatian dan telah menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya dengan prinsip syariah Islam.

Adalah menjadi kewajipan bahawa amalan perubatan tersebut selaras dengan syarak dan maqasid Islam agar ia dibenarkan oleh syarak.

Akupunktur melibatkan teknik mencucuk dan memanipulasi jarum filiform yang halus pada titik-titik tertentu di bahagian badan (titik akupunktur) untuk mengurangkan kesakitan dan ia juga dikenali sebagai meridian.

Menurut Tuan Haji Mahadizan Hamzah, terdapat lebih kurang 360 titik utama dalam proses melakukan akupunktur. Menurut beliau lagi, rawatan standard akupunktur tidak melibatkan sebarang bacaan sama ada jampi atau mantera tertentu.

Menurut teori perubatan Cina, meridian ini adalah saluran tenaga (qi) yang mengalir dalam tubuh. Apabila aliran qi terganggu, ia boleh menyebabkan penyakit. Dengan menstimulasi titik-titik ini, penggunaan akupunktur bertujuan mengembalikan keseimbangan aliran qi dan seterusnya memulihkan kesihatan.

Dari sudut pandang saintifik moden, akupunktur dipercayai merangsang sistem saraf, menyebabkan pembebasan endorfin (penghilang sakit pada badan) dan mempengaruhi fungsi hormon serta imun.

Di Malaysia, perkembangan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) telah melalui proses pembangunan yang sistematik dan berlandaskan dasar kebangsaan sejak tahun 2001.

Dasar PT&K yang disemak semula pada tahun 2007 telah menjadi tonggak utama dalam merangka hala tuju dan pelaksanaan perkhidmatan ini di peringkat nasional.

Penubuhan Bahagian PT&K (BPTK) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 dan pengiktirafan Jemaah Menteri pada tahun 2006 terhadap hospital integrasi menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggabungkan PT&K ke dalam sistem kesihatan arus perdana.

Melalui pelaksanaan secara berperingkat, sebanyak 14 buah fasiliti kesihatan kerajaan telah menawarkan perkhidmatan PT&K menjelang tahun 2022.

Penstrukturan semula BPTK pada tahun 2013 telah memperkukuh peranan unit ini dalam menyelaras dasar, strategi dan aktiviti berkaitan perkhidmatan PT&K.

Kemuncak kepada usaha pemerkasaan sektor ini ialah pewartaan Akta PT&K (Akta 775) pada tahun 2016 dan penguatkuasaan peraturannya mulai tahun 2021 yang menyaksikan proses pendaftaran rasmi pengamal PT&K secara berperingkat.

Dalam konteks Islam, sesuatu amalan perubatan perlu memenuhi beberapa kriteria syarak agar ia diharuskan. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan ubatnya. Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat. Oleh itu, berubatlah kamu dan jangan sesekali kamu berubat dengan benda yang haram.” (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan bahawa Islam menganjurkan umatnya untuk berubat selagi ia tidak melibatkan penggunaan bahan dan perkara haram. Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan: “Asal sesuatu perkara adalah harus melainkan terdapat sebarang dalil tentang pengharamannya.”

Asasnya, sesuatu perkara (yang tidak melibatkan ibadah khusus) adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.

Hal ini sebagaimana kaedah perubatan akupunktur, secara asalnya adalah diharuskan selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Bahkan, secara teknikalnya telah terbukti keberkesanan kaedah ini. Menurut kaedah fiqh, sesuatu perkara yang melibatkan urusan duniawi adalah berdasarkan keberkesanan dalam uji kaji sebagaimana kaedah fiqh seperti berikut: “Kebaikan dan kerosakan yang melibatkan urusan duniawi hanya akan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.”

Keharusan suatu amalan perubatan ditentukan oleh beberapa aspek utama seperti berikut:

Pertama, sumber rawatan mestilah bersih (halal) dan tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti alkohol atau bahan-bahan yang berasal daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

Kedua, kaedah rawatan itu sendiri tidak boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada manfaatnya, selaras dengan kaedah ‘tidak boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain’. Teks kaedah ini berasal daripada hadis Nabi SAW, lafaznya seperti berikut: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah)

Ketiga, rawatan tersebut tidak boleh melibatkan unsur syirik atau kepercayaan kepada kuasa selain Allah Taala, seperti penggunaan tangkal atau jampi yang bercanggah dengan akidah.

Keempat, niat di sebalik rawatan mestilah untuk mencari kesembuhan daripada Allah SWT dan bukan bergantung sepenuhnya dengan rawatan semata-mata.

Kelima, pengendali akupunktur mestilah individu yang mahir dalam ilmu tersebut serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti.

Kesimpulannya, akupunktur adalah kaedah rawatan yang harus dalam Islam selagi mana ia bertepatan dengan hukum syarak iaitu tidak mengandungi unsur-unsur haram, tidak melibatkan amalan syirik dan dilakukan dengan cara yang menjaga kemaslahatan serta kesucian.

Read Entire Article
Pertanian | | | |