IMPIAN trio berbasikal trek negara ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile bulan depan musnah selepas gagal melepasi had masa kelayakan ditetapkan dalam sesi ujian pemilihan di Velodrom Nasional, Nilai kelmarin.
Gandingan Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena terpaksa akur apabila sekadar mencatat masa 44.44 saat (s), tersasar dari sasaran 43.9s ditetapkan oleh pengarah teknikal, John Beasley.
Perbezaan hanya 0.5s itu memisahkan tiket ke pentas dunia dan menyaksikan jaguh pecut wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri bakal menggalas cabaran negara secara solo di Chile.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri mengakui keputusan itu mengecewakan, namun mendedahkan ia turut melibatkan pertimbangan strategik yang lebih besar.
“Sudah tentu ada rasa kecewa, tetapi pada akhirnya kita tahu di mana tahap sebenar mereka sekarang, jadi ia tetap satu perkara yang bagus.
“Biarpun mereka sebenarnya memang layak ke Chile (berdasarkan ranking), tetapi kita tidak mahu menghantar sekadar cukup syarat.
“Catatan masa 43.9s yang kita letak itu kalau di Kejohanan Dunia, kedudukan lapan terbaik di pusingan pertama, Kalau mereka tidak berada dalam kelompok itu, peluang ke pusingan seterusnya sangat tipis.
“Kita tak mahu hantar sekadar berkayuh di peringkat kelayakan sahaja. Selepas ini mereka bertiga perlu memberi tumpuan kepada latihan kerana misi lebih besar di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini,” katanya.
Fokus kini terarah sepenuhnya kepada Izzah yang akan berdepan saingan bertaraf dunia termasuk dari Jepun dan Great Britain.
“Persiapan Izzah setakat ini berada di landasan yang betul. Sasaran kami adalah untuk sekurang-kurangnya memecahkan rekod peribadinya acara 200m pecut.
“Bagi acara keirin, sasaran realistik layak ke suku akhir. Jika berjaya ke separuh akhir, itu sudah cukup baik dan sebarang kemaraan ke pentas final adalah satu bonus besar,” tambah Harnizam. – KOSMO! ONLINE