
- Oleh CHERINE JON
- 21 Ogos 2025, 1:33 pm
KUCHING – Seorang wanita terpaksa akur apabila kenderaan mewah jenis Toyota Land Cruiser yang dipandunya turut disita selepas pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut tidak memiliki cukai jalan yang sah serta tiada perlindungan insurans.
Malah, ia ibarat ‘menyerah diri’ apabila wanita berkenaan hadir ke Kompleks JPJ Sarawak untuk menghantar teman lelakinya yang berhasrat menuntut kenderaan jenis Toyota Vellfire miliknya yang telah disita lebih awal melalui operasi sama.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menerusi satu kenyataan menegaskan Ops Kenderaan Mewah akan terus dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan setiap pemilik dan pemandu kenderaan mewah mematuhi sepenuhnya undang-undang jalan raya tanpa kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan cukai jalan diperbaharui dan perlindungan insurans adalah sah sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.
“Kelalaian dalam aspek ini bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-KOSMO! ONLINE