PETALING JAYA – Generasi muda hari ini perlu sedar ruang berhimpun secara aman yang mereka nikmati sekarang bukan datang bergolek, sebaliknya hasil pengorbanan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia hasil pengorbanan ahli politik, badan bukan kerajaan dan rakyat biasa yang bergabung tenaga melalui Bersih.
“Jadi janganlah rosakkan warisan ini. Jangan sampai himpunan aman yang kita perjuangkan bertukar kembali jadi himpunan ganas.
“Kita lawan dulu bukan untuk tunjuk kekuatan, tapi untuk tunjuk kuasa rakyat menuntut hak secara beradab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohamad menyifatkan penyokong pembangkang sebagai tidak faham sejarah apabila mendakwa demonstrasi dulu lebih ganas.
Beliau berkata, sebelum wujud Akta Perhimpunan Aman, polis mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang lama (Akta Polis)
Kata beliau, ketika itu, setiap ceramah atau perhimpunan tanpa permit polis hampir pasti akan berakhir dengan gas pemedih mata dan tangkapan.
“Bang Mat sendiri sudah biasa kena gas pemedih mata di Kedah, Kelantan, Terengganu dan banyak tempat lain.
“Malah, dalam demonstrasi membela rakyat Afghanistan dulu, saya pernah dipukul dari belakang sewaktu cuba bersurai.
“Begitu juga dalam demonstrasi Jalan Kebun, kami pernah bertembung dengan pihak polis.
“Semua itu berlaku kerana ketika itu kita belum ada satu undang-undang yang jelas membenarkan rakyat berhimpun secara aman,” katanya.
Mohamad berkata, perjuangan Bersih yang melahirkan Akta Perhimpunan Aman selepas 2018 apabila berlaku perubahan kuasa.
“Dan sekarang kita dapat lihat hasilnya. Perhimpunan seperti ‘Turun Anwar’ sebelum ini dan yang lain berjalan dengan begitu aman.
“Inilah perbezaannya. Dulu, sebelum ada Akta Perhimpunan Aman, setiap perhimpunan pasti dianggap jenayah.
“Dengan adanya akta ini, rakyat boleh berhimpun secara aman tanpa lagi trauma gas pemedih mata dan keganasan melampau,” katanya. – KOSMO! ONLINE