‘Gembira 95 peratus RMK13 adalah apa yang saya bangunkan’

1 day ago 9

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menzahirkan rasa gembira apabila 95 peratus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) adalah apa yang dibangunkannya dari sepanjang proses berjalan sehingga beliau meletak jawatan.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut hadir dalam pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata segala reformasi besar yang melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi, tumpuan kepada perkara-perkara baru seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga, semuanya dikekalkan.

“Disamping itu, rekayasa ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini dari NETR, KL20, JSSEZ, ‘Made by Malaysia’, beralih ke ekonomi berasaskan ‘consumption powerhouse’, CCUS dan yang telah dibangunkan dan belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) juga semuanya ada.

“Begitu juga beberapa hasil kerja kami di Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuklah pelaksanaan ‘anti red tape act’ (ILTIZAM) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, dirinya akan menelaah setiap muka surat terlebih dahulu sebelum mengulas satu persatu dalam tempoh seminggu akan datang.

Beliau dijangka membahaskan RMK13 antara Isnin atau Selasa depan, selain dijadualkan mengupas lanjut dokumen berkenaan bersama Dr Muhammad Khalid menerusi platform audio siar YBM, pada 8 Ogos ini.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen ini sejak November 2022.

Beliau juga berkata tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan yang perlu dibuat di saat akhir.

“Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik.

“Habis satu tugas, kita semua ada tugas yang baru iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan. Doa saya rakyat jua yang akan mendapat manfaat di masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |