Gali semula kubur, ini jawapan mufti

2 weeks ago 13

GEORGE TOWN – Hukum harus sekiranya menggali semula kubur orang Islam bagi tujuan menegakkan keadilan si mati atau membuktikan kes pembunuhan untuk siasatan kes jenayah.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, ia dibenarkan apabila terdapat darurat atau keperluan syarie yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, kaedah fiqh menetapkan keadaan darurat membolehkan perkara yang asalnya dilarang.

“Secara asasnya, hukum menggali semula kubur adalah haram kerana ia termasuk dalam perbuatan mencemarkan kehormatan si mati dan membuka auratnya. Allah SWT memerintahkan supaya mayat dihormati sebagaimana ketika hidup.

“Ulama mazhab Syafie menyatakan, haram hukumnya membongkar kubur kecuali dengan sebab yang diiktiraf syarak, antaranya untuk tujuan penyiasatan atau pengesahan identiti dalam kes jenayah,” katanya di sini.

Bagaimanapun katanya, terdapat syarat-syarat kebenaran menggali semula kubur antaranya sekiranya tiada alternatif lain untuk mendapatkan bukti selain membongkar kubur.

“Dilakukan oleh pihak berkuasa yang sah serta mendapat kebenaran undang-undang dan proses tersebut mestilah dilakukan dengan penuh adab, berhati-hati serta memelihara maruah jenazah.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, melalui
firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Perintah mahkamah menetapkan jasad Allahyarham digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor, sebelum dibedah siasat oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur.

Hari ini, proses penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris bermula 8.15 pagi tadi dan selesai pada pukul 9 pagi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |