KLANG – Taktik seorang tekong tempatan menyusup keluar 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam keadaan bot tidak berlampu gagal selepas dipintas kira-kira 5.5 batu nautika daripada barat Tanjung Karang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, kesemua PATI yang berusia 10 hingga 63 tahun berserta tekong berusia 27 tahun berkenaan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pengesanan bot tersebut hasil risikan dan maklumat awam sebelum rondaan digerakkan pihaknya.
Katanya, bot fibre yang dikendalikan tekong tempatan cuba melarikan diri apabila diarahkan untuk berhenti.
“Aksi mengejar bot berkenaan dilakukan dalam tempoh 10 minit sebelum ditahan APMM.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati 21 lelaki dan 12 wanita termasuk kanak-kanak perempuan didapati duduk berhimpit antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan awal mendapati PATI membayar kepada sindiket di antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang.
“Ini bergantung kepada jarak dan lokasi perjalanan. Kita percaya PATI ini akan dihantar di perairan sempadan sebelum bertukar bot penyeludup lain,” jelasnya.
Justeru katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang sindiket tersebut.
“Kesemua PATI disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan cuba kelur melalui laluan tidak diwartakan.
“Manakala tekong pula disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007. Bot tersebut disita untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE