FEM 2026 himpun hampir 5,000 peserta, fokus pelaksanaan dasar ekonomi

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini menghimpunkan hampir 5,000 pembuat dasar, pemimpin industri, pelabur dan ahli akademik bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara dalam landskap global yang semakin mencabar.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berkata, penganjuran FEM 2026 membuktikan kepentingan kolaborasi, dialog terbuka dan pemikiran strategik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal inklusif dan mampan.

Menurutnya, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri mencerminkan komitmen bersama untuk membina masa depan ekonomi negara berteraskan kesejahteraan rakyat.

“FEM bukan sekadar medan perbincangan, tetapi platform untuk menterjemahkan idea dan dasar kepada tindakan serta hasil sebenar,” katanya ketika berucap merasmikan forum tersebut.

Akmal berkata, FEM yang bermula pada 2025 berjaya menarik lebih 3,000 peserta dengan fokus memperkukuh perniagaan, melindungi pekerjaan dan meningkatkan daya tahan ekonomi negara susulan ketidaktentuan global.

Beliau memaklumkan, edisi kali ini turut disertai pelabur institusi yang menguruskan aset bernilai AS$7.3 juta serta syarikat dengan jumlah permodalan pasaran mencecah AS$226 juta, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek Malaysia.

Menurutnya, FEM 2026 berfungsi sebagai platform penyelarasan antara kerajaan, industri, pelabur dan akademia bagi menggalakkan pelaburan, memperkukuh modal insan dan melaksanakan reformasi struktur.

“Ukuran kejayaan bukan lagi pada pengumuman dasar, sebaliknya pada pelaksanaan dan impak yang boleh dirasai rakyat,” katanya.

Pelbagai topik strategik dibincangkan sepanjang forum termasuk dasar fiskal, pelaburan global, ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, pembangunan bakat dan perumahan mampu milik.

Forum itu turut menampilkan tokoh teknologi antarabangsa, Tom Gruber, pengasas bersama Siri, yang berkongsi pandangan mengenai pembangunan AI berteraskan nilai kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |