F1: Verstappen tunjuk petanda positif

1 week ago 13

MONZA – Pelumba Red Bull, Max Verstappen kembali ceria apabila berjaya mencipta kemenangan selepas menguasai Grand Prix (GP) Itali sekali gus mengakhiri dominasi cemerlang pasukan McLaren.

Verstappen percaya kejayaan tersebut bakal meningkatkan keyakinan pasukannya itu terutama selepas berjaya menamatkan kemarau lapan perlumbaan tanpa kemenangan.

Lebih manis, pelumba Belanda itu bukan sahaja cemerlang menguasai sesi kelayakan dengan catatan pusingan terpantas dalam sejarah Formula Satu, malah melengkapkan perlumbaan terpantas di Monza dengan kelebihan lebih 19 saat mengatasi Lando Norris dari McLaren.

“Sepanjang hujung minggu ini kami temui keseimbangan jentera yang lebih baik, tayar juga berfungsi lebih normal. Itu jelas membantu saya mengawal perlumbaan. Rasanya ini satu lagi langkah ke hadapan,” kata Verstappen.

Juara dunia empat kali itu mengakui sebelum ini mereka sering menggunakan pelarasan berbeza menyebabkan jentera semakin sukar dipandu dan pasukan seakan-akan hilang arah.

Bagaimanapun, perubahan selepas Laurent Mekies dilantik sebagai prinsipal pasukan menggantikan Christian Horner pada Julai lalu kini telah memberi nafas baharu.

“Dia (Mekies) banyak bertanya soalan asas kepada jurutera terutama perkara yang masuk akal dan itu membantu pasukan ini kembali mendapatkan input yang jelas.

“Dari situ, kami lebih mudah memahami arah yang patut dituju. Di Zandvoort kami sudah nampak peningkatan dan di sini pula langkah itu menjadi lebih kukuh,” jelas Verstappen yang menjuarai GP Itali dalam masa terpantas dalam sejarah dengan melengkapkan 53 pusingan hanya dalam tempoh sejam 13 minit 24.325 saat.

Hasil kemenangan tersebut, Verstappen kini ketinggalan 94 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri (McLaren) dengan lapan perlumbaan serta tiga aksi perlumbaan pecut masih berbaki yang menawarkan maksimum 224 mata. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |