EPL: Newcastle buru kemenangan pertama

3 hours ago 5

LONDON – Newcastle United dan Wolverhampton Wanderers sama-sama memburu kemenangan sulung musim ini apabila bertembung di St. James’ Park malam esok dalam aksi yang dijangka sengit serta sarat tekanan.

The Magpies menjadi pilihan utama, lebih-lebih lagi dengan rekod cemerlang Eddie Howe setiap kali menentang Wolves, namun pasukannya masih gagal menemui rentak selepas tiga perlawanan pertama.

Wolves pula di bawah kendalian Vitor Pereira masih tercari-cari kemenangan pertama dan pengendali Portugal itu mahu mengelak sejarah buruk jika terus tercicir mata menjadikan aksi tersebut dilihat sebagai penentu penting kepada nasib awal musim mereka.

Dari segi rekod, pertemuan antara Newcastle dan Wolves jarang berlangsung hambar dengan lima pertemuan terakhir menyaksikan sekurang-kurangnya tiga gol berjaya dijaringkan, malah kali terakhir kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan adalah pada 1991.

Barisan serangan Newcastle kini diperkuat dengan kehadiran muka baharu seperti Yoane Wissa dan Nick Woltemade, manakala Wolves pula berharap Jorgen Strand Larsen cergas untuk diturunkan. 

Bagaimanapun, fokus utama terarah kepada benteng Wolves yang kerap melakukan kesilapan mudah dengan Matt Doherty sendiri mengakui pemain gagal mengikut arahan taktikal Pereira, sekali gus membuka ruang besar kepada Newcastle untuk menghukum.

Situasi itu boleh memberi peluang kepada pemain pertahanan Republik Czech, Ladislav Krejci yang tampil tenang ketika tugasan antarabangsa baru-baru ini. 

Apa pun percaturan Pereira, perlawanan di St. James’ Park bakal menjadi ujian buat kedua-dua pasukan sama ada Newcastle mampu memanfaatkan kelebihan di laman sendiri atau Wolves berani melakukan perubahan drastik bagi mengelak terus tenggelam di awal musim. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |