Ejen, pembantu klinik pula ditahan kes ‘bayi segera’

10 hours ago 6

SHAH ALAM – Komplot pemalsuan butiran pengesahan kelahiran ‘bayi segera’ terus dibongkar dengan dua lagi suspek direman hari ini.

Kedua-dua suspek wanita masing-masing pembantu klinik swasta dan ejen berusia 43 dan 49 tahun direman selama lima hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kedua-dua suspek terdahulu ditahan antara pukul 1.10 hingga 1.15 tengah hari di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati ejen berusia 49 tahun itu telah bertindak menguruskan dan menyediakan dokumen-dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital sekitar Selangor.

“Pembantu klinik itu pula telah menyamar sebagai penjawat awam bagi membantu dalam permohonan pendaffaran kelahiran dengan menerima rasuah lebih kurang Rm10,000 dari seorang pemohon.

“Mereka berdua disyaki telah berpakat dalam urusan pemalsuan borang daftar kelahiran bayi segera itu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan dua suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) AKTA SPRM 2009.

Kosmo! sebelum ini melaporkan perbuatan 14 individu termasuk tiga wanita memalsukan butiran pengesahan kelahiran ‘bayi segera’ mereka terbongkar selepas ditahan dalam Ops Birth pada 15 April lalu.

Kesemua mereka yang berusia 28 hingga 49 tahun itu dipercayai membayar ejen serendah RM5,000 hingga RM80, 000 bagi menguruskan dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital di sekitar Se­langor.

Dokumen itu termasuklah ‘buku pink’ atau rekod kesihatan ibu yang mempunyai pengesah­an doktor.

Malah, siasatan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas kumpulan suspek yang memalsukan butiran tersebut mendapati, pembe­lian dokumen turut dilakukan oleh mereka yang belum berkahwin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |