Dewan Rakyat: Hanya WeChat, TikTok, Telegram telah diberi lesen

1 week ago 14

KUALA LUMPUR – Hanya tiga syarikat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial telah dilesenkan sehingga 25 Februari lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyedia perkhidmatan terbabit adalah WeChat International Pte Ltd (WeChat) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) masing-masing pada 1 Januari 2025.

Menurut beliau, turut dilesenkan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 (Akta A1743 adalah Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari 2025.

“Bagi status permohonan lesen ASP (C) oleh Meta (yang mengoperasikan platform Facebook, Instagram dan WhatsApp), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan Notis Menteri pada 28 Januari 2025.

“Notis dikeluarkan menurut Peraturan 23(2) di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000 bagi membenarkan penyedia perkhidmatan berkaitan iaitu Meta Services, LLC dan Whatsapp Services, LLC untuk berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C)

“Penyedia perkhidmatan tersebut kini di dalam proses menyediakan dokumen yang perlu bagi tujuan pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

MCMC melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial bermula 1 Januari 2025.

Nie Ching berkata, bagi platform X dan Google (YouTube), MCMC sedang menjalankan penelitian lebih mendalam bagi pengeluaran lesen berkenaan.

Kata beliau, ia bagi memastikan segala isu berkenaan penguatkuasaan kerangka pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan itu dapat diselesaikan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Jelas beliau, MCMC boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 126 Akta A1743 ke atas mana-mana penyedia perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen.

“Penyedia perkhidmatan boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau sepuluh tahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

“Dalam kes pelanggaran ini, MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan penyedia perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |