PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi yang berminat bagi menampung permintaan tinggi pada musim perayaan.
APAD dalam kenyataan memaklumkan, tiada tambang siling dikenakan bagi bas eksekutif, namun bagi bas ekonomi adalah dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan sebanyak 10 peratus pada musim perayaan.
Katanya, perkhidmatan jenis ekonomi menyediakan bas berhawa dingin yang dilengkapi kemudahan asas manakala perkhidmatan jenis eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang.
“APAD telah melaksanakan pemantauan rapi pada musim perayaan ini bagi memastikan pengendali-pengendali bas mematuhi jadual tambang yang ditetapkan.
“Melalui pemantauan ini, APAD mendapat maklum balas wujudnya kekeliruan ada pengguna yang ingin membeli tiket ekonomi telah memilih tiket eksekutif yang harganya lebih tinggi kerana maklumat kurang jelas pada waktu pembelian,” katanya.
Katanya, perkhidmatan jenis eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang dengan tempat duduk lebih luas, lampu baca, minuman dan makanan ringan, kerusi sandar yang dilengkapi dengan tempat meletak makanan, televisyen dan pemain multimedia digital.
“Susulan ini, APAD telah mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat termasuk dalam talian dan luar talian memaparkan secara jelas sama ada tiket yang dijual adalah ekonomi atau eksekutif agar pengguna boleh memilih perkhidmatan setimpal dengan harga dibayar.
“Memandangkan semakan jadual tambang terakhir adalah lebih dari 11 tahun lepas iaitu pada September 2013, APAD akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk pengenalan tambang siling untuk perkhidmatan eksekutif,” katanya.
Katanya, semakan dasar dan peraturan ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pindaan kepada perundangan.
“APAD ingin mengingatkan pihak pengendali untuk mematuhi jadual tambang sedia ada.
“Kegagalan untuk mematuhi jadual tambang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan tindakan Penggantungan atau Pembatalan lesen pengendali,” katanya. – KOSMO! ONLINE