Lelaki kena denda RM50,000 simpan burung dalam paip PVC

4 hours ago 1

SEPANG – Tindakan seorang pekerja kontrak bangunan warga Indonesia menyimpan lima burung Sewah Tahu tanpa permit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), mengundang padah apabila dia didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Abdul Latif, 48 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan tanpa suatu permit khas lima ekor burung Sewah Tahu atau Asian Koel (Eudynamys scolopaceus) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kesalahan itu dilakukan di Gate Q7, Pelepasan Antarabangsa Terminal 2, KLIA, Sepang jam 9 pagi pada 10 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah seksyen 68(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda minimum RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tiga tahun.

Terdahulu, Abdul Latif yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda rendah dikenakan kerana perlu menanggung empat anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah manakala isteri tidak bekerja di Indonesia.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Suhaina Abd. Rashid memohon mahkamah mempertimbangkan kesalahan serius dan hukuman berat supaya mesej jelas disampaikan kepada pesalah di luar sana bahawa perlindungan hidupan liar akan terus dilaksanakan tanpa kompromi.

“Kes ini membabitkan kepentingan awam memandangkan hidupan liar suatu yang perlu dipelihara adalah khazanah berharga negara dan bernilai,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya Ahmad Fuad, sama ada Abdul Latif mengetahui atau tidak denda minimum di bawah seksyen itu adalah RM50,000, tertuduh tetap memohon hukuman denda ringan.

Namun Ahmad Fuad menegaskan, mengikut undang-undang seksyen itu memperuntukkan denda minimum adalah RM50,000.

“Undang-undang mengatakan denda minimum RM50,000, RM49,900.90 tidak dibenarkan dan perlu mula RM50,000 ke atas. Saya perlu mengikut undang-undang. Jika saya bagi denda RM5,000, itu tidak mengikut undang-undang,” katanya.

Mengikut fakta kes, pegawai penguat kuasa Perhilitan bersama polis bantuan Malaysia Airport pergi ke pintu Q7, KLIA Terminal 2 dan mengarahkan tertuduh membuka satu bagasi plastik berwarna hitam yang didaftarkan sebagai miliknya.

Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas bagasi itu menemui lima ekor burung Sewah Tahu yang dikurung di dalam lima bekas paip polyvinyl chloride (PVC) secara berasingan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |