KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kenderaan di parkir Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang tular di media sosial sejak semalam adalah kes lama yang berlaku pada Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden itu pada 25 Januari lepas pada pukul 5.07 petang.
Katanya, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dengan bantuan pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi Hospital Kuala Lumpur serta bedah siasat telah dijalankan.
“Keputusan bedah siasat masih menunggu laporan penuh makmal. Tiada terkesan sebarang unsur jenayah dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya di media sosial.
“Orang ramai diminta tidak mengeluarkan komen-komen yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga dan waris serta menjurus kepada perlanggaran undang-undang penyebaran kandungan jelik di media sosial.
“Tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat seperti diperuntukkan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok berhubung penemuan mayat seorang individu di dalam kenderaan di sebuah parkir di KLCC. – KOSMO! ONLINE
@rizwankamarulzaman 25/01/2025 pengalaman jumpa mayat dalam kereta #prihatin ♬ original sound – AbangPublic