Pemain warisan baharu Harimau Malaya terdedah

7 hours ago 5

JANJI pengurusan baharu Harimau Malaya untuk mendapatkan pemain berdarah warisan dari Belanda mungkin tertunai selepas tonggak tengah kelab Portimonense, Hector Hevel dikhabarkan mendapat panggilan skuad kebangsaan pada kem latihan kali ini.

Meskipun tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelab Portimonense telah memberi bayangan menerusi laman sosial selepas mengesahkan Hevel sudah menukar kerakyatannya menjadi warganegara Malaysia.

“Convocado (dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya)” kata status yang dimuatnaik kelab Portimonense secara ringkas sambil memaparkan bendera Jalur Gemilang.

Sebagai rekod, Hevel yang kini berusia 29 tahun lahir di Leidschendam, Belanda dan pernah mewakili beberapa kelab seperti ADO Den Haag, Guangxi Pingguo FC sebelum berhijrah ke Portimonense sejak Februari lepas.

Menurut laman sukan antarabangsa Transfermrket.com, Hevel memiliki tanda harga sebanyak €450,000 (RM2.1 juta) dan telah beraksi dalam lima perlawanan bersama Portimonese pada saingan Liga Divisyen 2 Portugal musim ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend pada Januari lepas mengesahkan seorang pemain berdarah warisan dari Belanda hampir pasti menyarung jersi skuad kebangsaan.

Ramai pihak beranggapan pemain terbabit adalah bekas penyerang Rapid Wien, Ferdy Druijf sebelum pemain berusia 27 tahun itu menafikan secara terbuka menerusi podcast laman sukan ESPN awal minggu ini.

Sementara itu, seorang lagi pemain warisan yang dikhabarkan bakal bersama Harimau Malaya adalah Jon Irazabal yang mewakili kelab Liga Uzbekistan, Sabah FK di posisi bek kiri.

Irazabal yang berusia 29 tahun merupakan pemain kelahiran Bilbao, Sepanyol dan pernah mewakili beberapa kelab divisyen bahawan negara kelahirannya seperti CD Vitoria dan SD Amorebieta sebelum berhijrah ke Sabah FK sejak musim 2022.

Read Entire Article
Pertanian | | | |