PUTRAJAYA – Sebanyak 99 kertas siasatan dibuka membabitkan 308 premis pengilang dan pembungkus beras yang diperiksa dalam Op Campur kerana disyaki mencampurkan beras tempatan dengan import.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, 17 sampel kampit beras yang disita dihantar kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk analisis.
Katanya, pihak MARDI mempunyai teknologi membantu KPDN membuat tindakan undang-undang kepada pihak terlibat melalui penguatkuasaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pegawai penguat kuasa boleh mengambil sampel beras dari mana-mana premis dan menyerahkannya kepada MARDI untuk dianalisis.
“Jika hasil analisis menunjukkan adanya ‘DNA’ beras tempatan dalam sampel tersebut, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Sampel ini perlu diurus secara baik untuk pastikan bahan bukti ini boleh digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025, di sini hari ini.
Selasa lalu, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam mengumumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan ke atas 2,000 pengilang dan pembungkus beras di seluruh negara bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik indusri padi dan beras negara.
Sebanyak 300 kampit beras dirampas daripada 213 premis pembungkus dan pengilang yang diperiksa pada Isnin lepas dan membawa kepada 48 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan dibuka.
Sementara itu, Armizan menjelaskan, keputusan untuk bertindak berikutan isu beras tempatan berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Maka KPDN melihat ruang untuk melindungi kepentingan rakyat dan pengguna menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Di bawah akta ini ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu.
“Jadi, kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya menjual beras dengan label import, tetapi ada kandungan beras tempatan, bermakna ia ada membuat perihal dagangan palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE