Skuad Piala Sudirman bakal dipersiapkan

6 hours ago 1

PETALING JAYA – Malaysia dianggap memiliki peluang cukup seimbang untuk melangkah ke pusingan kalah mati pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2025 yang dijadualkan berlangsung di Xiamen, China bermula 27 April hingga 4 Mei depan.

Apa tidaknya, pasukan negara diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara tiga kali, Jepun, Australia serta wakil Eropah yang sedang meningkat naik, Perancis.

Justeru, Malaysia dijangka menyenaraikan skuad terbaik pada edisi kali ini dalam usaha memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain selain meneruskan kemaraan ke peringkat lebih jauh.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, senarai nama pemain akan dibincangkan bersama barisan jurulatih sebaik sahaja tamat saingan kejohanan All England yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya tidak mahu memberikan komen banyak mengenai undian Piala Sudirman tetapi kita sudah tahu berada dalam kumpulan mana, jadi kita buat persiapan sahaja dan fokus untuk kejohanan tersebut.

“Berhubung senarai nama (pemain) yang akan menggalas cabaran di Piala Sudirman nanti, ia akan dibincangkan bersama ketua-ketua jurulatih selepas balik daripada kejohanan All England,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah memenangi kejohanan berpasukan campuran yang mula dianjurkan sejak 1989 itu dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

Sementara itu, China yang merupakan tuan rumah dan juara bertahan bagi kejohanan dwitahunan itu diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Hong Kong serta juara Afrika, Algeria.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada saingan Kumpulan D yang dianggap sebagai undian ‘maut’ apabila membariskan pasukan-pasukan terbaik dunia seperti Indonesia, Denmark, India dan England. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |