‘Waktu mula peluk Islam, saya tak pandai solat’

5 hours ago 2

TAHUN 2025 menyaksikan genap 10 tahun si pemilik mata bundar ini bergelar mualaf. Cukup indah dan membahagiakan, setiap kali Ramadan, Marsha Milan pasti teringatkan kenangan awal ketika mula-mula masuk Islam. Pernah sekali, dia mengerjakan umrah dalam gementar menginsafi diri yang ketika itu solat pun masih merangkak-rangkak.

Itu kisah Ramadan 10 tahun lalu, sekarang setelah sedekad hidup sebagai Muslim, ibadah dan penghayatan bulan suci ini sudah sebati buat finalis Akademi Fantasia musim ketiga itu.

Marsha memeluk Islam pada Disember 2015 sebelum berkahwin dengan suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Ismail pada tahun yang sama.

Memandangkan kita sedang berada dalam bulan Ramadan, sengaja lembaran istimewa bersama pelantun Hening Rindu itu menyorot semula pengalamannya sewaktu pertama kali menjalani ibadah puasa satu ketika dahulu.

Kata Marsha, tidak terlalu sukar untuknya menjalani ibadah rukun Islam ketiga itu kerana pernah cuba berpuasa sebelum memeluk Islam. 

“Sebenarnya saya sudah cuba berpuasa sebelum memeluk Islam lagi. Sejak menjadi artis, saya banyak berkawan dengan orang Melayu. 

“Tetapi waktu itu tidaklah ikut cara Islam, selepas berkahwin barulah saya ikut sepenuhnya. Mula-mula rasa macam susah sebab selain berpuasa, kita juga buat solat tarawih.

MARSHA berasa agak lucu apabila trofi juara dalam AJL39 menjadi ole-ole yang wajib dibawa pulang ke Pulau Pinang menjelang raya nanti atas permintaan sanak-saudara belah suaminya.

“Malah tahun pertama bergelar saudara baru saya telah mengerjakan ibadah umrah. Tidak dinafikan ketika itu saya agak gementar kerana solat pun saya belum pandai. 

“Orang yang memang dilahirkan Islam pun belum berkesempatan melakukan ibadah umrah tetapi saya sudah dijemput ke sana, syukur sangat,” kongsinya. 

Bercerita tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, kata Marsha dia berkahwin dengan suami yang mempunyai keluarga besar di Pulau Pinang. Jadi, setiap kali Syawal menjelma, dia akan sibuk meraikan keluarga suaminya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. 

‘Tahun ini kami akan pulang lebih awal ke Pulau Pinang. Memang setiap kali raya, rumah mentua saya akan jadi tumpuan sanak-saudara. 

“Tahun ini pula suami sudah pesan suruh bawa pulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke Pulau Pinang. Katanya saudara-mara sudah beritahu, mereka teruja nak lihat trofi tersebut dari dekat.

“Memang kedengaran agak lucu, tetapi saya akan tunaikan permintaan itu kerana mereka banyak menyokong dan mendoakan kemenangan saya,” jelasnya. 

Terharu

Memasuki dua dekad menghambakan diri dalam bidang seni, hasilnya kemanisan teragung hadir mengisi portfolio karier Marsha apabila berjaya meraih kejayaan besar dalam AJL ke-39 Februari lepas apabila lagu dendangannya, Hening Rindu dinobatkan sebagai juara.

Kemenangannya direstu semua, tiada seorang pun yang cuba menafikan. Semuanya kerana bakat serta imej bersih yang digalas penyanyi asal Tamparuli, Sabah itu sejak 20 tahun lalu.

Masih lagi dalam ‘mood’ meraikan kemenangannya, kata Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 40, tiada apa yang boleh diungkapkan selain mensyukuri nikmat dan rezeki yang diberikan Yang Maha Esa.

“Sebenarnya saya mengambil masa yang agak lama untuk hadam kemenangan ini. Semuanya terasa bagaikan mimpi. Minggu selepas menang AJL pula jadual saya memang agak padat dengan aktiviti seni.

“Jadi sekarang saya sudah boleh bertenang dan mula proses segala yang terjadi,” katanya.

Tambah Marsha lagi, dia terharu dengan penerima orang ramai terhadap kemenangannya malah dilayan bagaikan seorang ‘superstar’ sejak merangkul kemenangan tersebut. 

“Saya sangat terharu dan bersyukur kerana ramai orang yang saya jumpa sama ada kenal ataupun tidak akan ucap tahniah, peluk dan cium saya. Perkara ini agak ‘rare’ untuk saya.

“Sebelum ini memang ada yang akan tegur dan ajak bergambar, tetapi kali ini agak luar biasa. 

“Dari jauh lagi mereka sudah jerit, juara! 

“Mak cik-mak cik pula pula akan tarik, peluk dan cium. Perasaan ini sungguh luar biasa,” cerita teruja. 

Menjadi juara AJL adalah antara pencapaian tertinggi buat penyanyi. Ditanya apakah lagi yang diidamkannya selepas ini, Marsha hanya mahu menghasilkan karya yang lebih baik dan keluar daripada kepompong kebiasaan.

“Orang kenal saya dengan lagu balada yang sedih. Mungkin saya akan cuba sesuatu yang baharu pula. Saya juga sedang dalam pembikinan album solo. 

“Jika tiada aral melintang, sudah ada beberapa penganjur yang mahu menganjurkan konsert solo untuk saya. Tetapi saya belum boleh kongsikan butiran terperinci kerana semuanya masih dalam perbincangan,” jelasnya. 

Ratu OST

Tahun lepas sahaja, enam lagu dendangan Marsha menjadi lagu tema atau runut bunyi drama- drama popular,  antaranya Lelaki Itu dan Aku Bukan Ustazah. Tahun ini lagu dendangannya berjudul Tangisan Seorang Pendosa, sekali lagi terpilih untuk menjadi lagi tema drama Keluarga Itu yang kini sedang hangat ditayangkan.

Disebabkan itu juga Marsha masuk dalam senarai Ratu OST. Berlapang dada dengan dengan jolokan sebegitu, baginya itu salah satu medium untuk lagunya dikenali ramai. 

“Gelaran itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Maknanya orang lihat karya-karya saya layak dijadikan sebagai lagu tema drama atau filem. 

“Tetapi tidak dinafikan saya juga mahu dikenali sebagai Marsha Milan yang bukan sahaja dikenali bersandarkan kepada lagu runut bunyi. 

“Namun itu tidak bermaksud saya akan menolak untuk menyanyikan lagu runut bunyi lagi selepas ini. Yang penting lagu itu sedap dan saya mempunyai platform yang lebih untuk promosikan lagu,” ujarnya.  

Sudah lali soal anak

Genap 10 tahun berkahwin, Marsha dan suami masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. 

Biarpun sering  diajukan soalan tentang zuriat setiap kali Syawal menjelma, Marsha sudah lali dan sekadar membalas dengan senyuman. 

MARSHA dan suaminya, Mohamed Shaiful Nizam tidak pernah putus asa dan terus berikhtiar melengkapkan perkahwinan mereka dengan kehadiran anak.

Akui Marsha, sewaktu awal perkahwinan dia pasti terasa dan agak tertekan saat ditanya tentang anak. Namun kini, semuanya alah bisa, tegal biasa. 

“Saya tak risaukan soalan orang. Fasa itu sudah berlalu. Kebimbangan saya sekarang adalah usia yang sudah memasuki 40 tahun,” katanya.

Masih berharap dan tidak pernah putus asa tentang anak, sama ada mempunyai zuriat sendiri atau ada alternatif lain, kata Marsha, perkara tersebut selalu dibualkan dengan suami. 

“Saya memang mengharapkan mempunyai anak tidak kira sama ada jika saya mengandung ataupun tidak.  

“Tetapi kini Allah sedang beri rezeki dari segi kerjaya. Tahun ini kerjaya nyanyian saya berkembang. 

“Jadi saya hanya ikut ketentuan  di samping terus ikhtiar untuk mendapatkan zuriat. Mohon doakan yang baik-baik untuk saya dan suami,” tutupnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |