Dewan Negara: KKM kesan 45,000 pelajar merokok

1 week ago 12

KUALA LUMPUR – Hampir 45,000 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan menggunakan produk rokok konvensional, elektronik atau vape sejak tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seramai 44,211 pelajar terbabit merupakan pelajar sekolah menengah, manakala 230 lagi murid sekolah rendah.

Jelas beliau, pelajar terlibat dikesan melalui Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (Kotak)

“Seramai 17,172 pelajar sekolah menengah dikenal pasti menggunakan rokok biasa, manakala 19,782 lagi rokok elektronik atau vape dengan 36,870 orang sudah menyertai intervensi berhenti merokok.

“Seramai 55 murid sekolah rendah dikenal pasti menggunakan rokok biasa dan 138 lagi rokok elektronik atau vape dengan 201 orang sudah menyertai intervensi berhenti merokok,” katanya melalui jawapan bertulis kepada Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang mahu tahu tentang keberkesanan program berhenti merokok dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, perkhidmatan berhenti merokok iaitu Klinik Berhenti Merokok (KBM) ditawarkan di 857 klinik kesihatan di seluruh negara.

Kata beliau, perkhidmatan itu melalui teknik terapi modifikasi tingkah laku, terapi farmakoterapi atau gabungan kedua-duanya dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, seramai 38,467 perokok mendaftar dalam program berhenti merokok di KBM tahun lalu dan 4,916 mereka telah berjaya berhenti merokok dengan kadar kejayaan sebanyak 56.8 peratus.

Tambah beliau, KKM turut mengoptimumkan penggunaan platform JomQuit yang menyediakan rundingan berhenti merokok secara dalam talian oleh pengamal kesihatan bertauliah.

“Seramai 1,968 klien diberi sesi rundingan perkhidmatan berhenti merokok melalui platform ini antara Oktober 2024 hingga Ogos lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |