Deklarasi New York: Malaysia undi iktiraf negara Palestin

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Malaysia mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi New York pada 12 September lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan media berkata, Resolusi PBB mengenai Deklarasi New York diterima pakai dengan sokongan majoriti besar negara anggota PBB dengan 142 undi.

Jelas Wisma Putra, ia sebagai solidariti dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap usaha merealisasikan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf negara Palestin.

“Komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas penyelesaian dua negara dan pengiktirafan negara Palestin langkah penting menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim zionis.

“Ini telah mendorong Malaysia untuk membuat keputusan menyokong resolusi ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia bagaimanapun menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit.

Jelas Wisma Putra, ia termasuk penetapan pelan tindakan yang melindungi dan memelihara kebebasan dan hak kenegaraan rakyat Palestin.

Tambah Wisma Putra, Malaysia turut menegaskan Deklarasi New York perlu menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Palestin dan menjamin keselamatan Palestin.

Kata Wisma Putra, Malaysia juga meminta akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian, Malaysia menegaskan penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini.

“Malaysia menegaskan bahawa deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis lsrael ke atas Gaza dengan serta merta dan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah,” kata Wisma Putra. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |