CWC: City ‘malu’ dikejutkan gergasi Asia

7 hours ago 5

ORLANDO – Al-Hilal mencipta kejutan terbesar pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) kali ini apabila menyingkirkan Manchester City untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Pada pusingan 16 terbaik di Stadium Camping World hari ini, skuad kendalian Simone Inzaghi itu berjaya menghadirkan keceriaan buat bola sepak Asia apabila menang 4-3 ke atas The Citizens.

Penyerang Al-Hilal, Marcos Leonardo yang meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan ke atas City, antara pemain yang paling gembira terhadap kejayaan mereka mara ke suku akhir menentang Fluminense.

“Dalam tempoh dua bulan ini saya sedang mengharungi tempoh yang sukar. Ibu saya menghabiskan masa 70 hari dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), namun sekarang dia sudah berada dalam keadaan baik.

“Apabila saya menjaringkan dua gol, saya sentiasa memikirkan tentang ibu saya kerana dia dapat menonton perlawanan ini. Sudah pasti kita perlu memikirkan tentang keluarga dan setiap orang yang mahukan yang terbaik buat kami,” kata Leonardo.

City memulakan perlawanan dengan baik apabila membuka jaringan menerusi Bernardo Silva, namun Al-Hilal bangkit memperoleh dua gol daripada Leonardo dan Malcom sebelum Erling Haaland kembali menyikat kedudukan.

Di babak kedua, Phil Foden menafikan kelebihan gol ketiga Al-Hilal daripada Kalidou Koulibaly tetapi Leonardo sekali lagi menyinar apabila meledak gol kemenangan dalam masa tambahan.

“Kami tahu aksi ini adalah perlawanan yang sukar kerana kami menentang salah satu pasukan terbaik di dunia. 

“Namun, kami mahu menunjukkan idea dan bakat yang kami ada, akhirnya kami berjaya menyerlahkan mentaliti luar biasa,” kata Koulibaly. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |