
- Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
- 11 September 2025, 9:30 pm
GUA MUSANG – Seorang buruh ladang dicekup selepas menyimpan dua laras senapang patah dan sepucuk pistol buatan sendiri bersama 21 butir peluru di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di sini semalam.
Suspek yang berusia 31 tahun ditahan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang kira-kira pukul 4 petang menerusi Op Laras.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, lelaki itu dipercayai merupakan penghuni di dalam rumah kongsi tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai sebuah beg di atas lantai yang berisi dua laras senapang patah dan sepucuk pistol buatan sendiri.
“Selain itu, satu botol plastik yang mengandungi 21 butir peluru hidup Bore 12 pelbagai jenis, sebilah pedang berhulu dan bersarung kayu di dalam rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – KOSMO! ONLINE