Bunuh Kevin Morais: Tiga kekal sabitan, tiga bebas

2 months ago 33

PUTRAJAYA – Bekas pakar patologi kekal ke tali gantung manakala dua lagi lelaki masing-masing dipenjara 35 dan 40 tahun oleh Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram konkrit.

Bekas pakar patologi itu ialah Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 62, dan lagi lelaki itu ialah pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chandaran, 54, dipenjara 40 tahun dan S.Nimalan, 32, dipenjara 35 tahun dan 12 sebatan.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan tiga lagi lelaki iaitu R.Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; M Vishwanath, 35, dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati kekurangan bukti untuk mensabitkan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas meneliti rayuan keenam-enam perayu sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang.

Untuk rekod, keputusan kes berprofil tinggi itu merupakan keputusan terakhir yang diputuskan hakim Tengku Maimun dan Abang Iskandar yang mana kedua-dua hakim tertinggi negara itu bersara wajib pada minggu ini.

Sebelum ini pihak pembelaan dalam hujahannya memberitahu tiada bukti yang mengaitkan tertuduh Kunaseegaran dengan kes pembunuhan Kevin kerana bekas pakar patologi itu tidak pernah berada di lokasi kejadian.

Peguam Datuk N. Sivananthan, yang mewakili Kunaseegaran, dengan tegas berhujah anak guamnya tidak pernah dibuktikan mempunyai niat yang sama dengan lima tertuduh lain untuk membunuh mangsa.

Beliau juga berkata keterangan bekas tertuduh yang kemudian menjadi saksi pendakwaan dan telah mengaitkan Kunaseegaran dengan kes itu, adalah tidak lebih daripada sekadar teori untuk mewujudkan motif.

Sivananthan berkata justeru itu, keterangan saksi pendakwaan ke-54 iaitu G. Gunasekaran adalah tidak boleh dipercayai dan harus ditolak oleh mahkamah.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selaku responden yang berhujah hari ini, berkata, pembunuhan Kevin adalah himpunan pelbagai tindakan yang diambil bagi mencapai satu tujuan (kematian mangsa).

“Sehubungan itu, walaupun tertuduh hanya mempunyai peranan kecil dalam keseluruhan insiden, dia tetap boleh disabitkan atas kesalahan (membunuh) kerana ia memenuhi elemen `niat bersama’ sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan, ” kata Yusaini.

Sebelum ini keenam-enam perayu, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Kevin di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rayuan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu yang mana panel hakim mahkamah itu mengekalkan hukuman kerana kejadian bunuh itu dirancang rapi dengan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.

Kevin dilihat kali terakhir meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya pada 16 September tahun sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |