PETALING JAYA – Seorang wanita dilabel ‘gila’ oleh kawan-kawannya kerana sedang mencari calon isteri kedua buat suaminya yang berusia 35 tahun.
Siti (bukan nama sebenar), 34, berkata, dengan syarat calon isteri kedua itu mestilah tidak cepat cemburu dan sanggup tinggal sebumbung.
Selain itu, Siti juga mengutamakan wanita yang boleh dibuat kawan serta duduk di sekitar Selangor.
“Saya kalau nak yang sanggup duduk sekali. Sebab saya tak mahu gaduh-gaduh. Kalau duduk asing lagi banyak masalah yang datang. Mesti ramai masuk campur juga.
“Anak dara ke, janda ke, ibu tunggal pun boleh. Tapi janganlah anak ramai sangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Kata Siti, antara sebab utama dia ingin mencari isteri kedua buat suaminya yang juga penjawat awam adalah kerana dirinya berdepan dengan masalah kesihatan.
“Suami saya tak gatal pun. Tapi sebab saya ada masalah kesihatan, jadi saya rasa saya dah banyak kurang,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Ujarnya, dia pernah menyuarakan hasrat kepada suaminya sebelum ini dan respon yang diterima adalah positif.
“Dia okey je saya suarakan hajat saya ni. Antara kami memang tak ada rahsia. Cuma janganlah isteri kedua tu ‘high demand’, kalau macam tu pening juga saya,” katanya.
Sebelum ini Siti pernah memuat naik hantaran di media sosial sehingga tular dan meraih perhatian orang ramai.
Rata-rata ramai yang memberi respons pelik serta ada juga menuduh Siti merupakan ‘scammer’ (penipu) yang ingin meraih pengikut.
Siti berkata dia tidak terkejut dengan hal itu kerana sebelum ini dia pernah berceritakan hajatnya kepada teman-teman rapat dan menerima respon yang sama.
“Kawan baik sampai cakap saya ‘gila’ sebab nak cari isteri kedua untuk suami. Selain dari tu ramailah yang cakap saya ‘gila’ dan scammers.
“Buat apalah saya nak tipu benda-benda besar begini. Niat saya baik cuma nak cari isteri kedua buat suami saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE