‘Bila dapat surat mahkamah baru gelabah nak berunding’ – Asyraf Wajdi

9 hours ago 5

PETALING JAYA – Peminjam Majlis Amanah Rakyat (Mara) diingatkan supaya tidak berdiam diri apabila berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman pendidikan sebaliknya segera berunding dengan agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tindakan berhutang tetapi enggan melangsaikan bayaran memberi kesan besar kepada pelajar lain, khususnya golongan miskin dan yatim yang memerlukan bantuan pendidikan daripada Mara.

“Kalau ada masalah nak bayar balik pinjaman datanglah berbincang dengan Mara. Jangan senyap terus, bila datang surat mahkamah baru gelabah nak berunding. Saya sudah tegaskan hutang wajib bayar untuk bantu lebih ramai (orang) lagi.

“(Sebagai contoh,) dengan bayaran balik pinjaman RM200,000, Mara boleh tanggung 20 orang pelajar miskin di Kolej Profesional Mara atau Kolej Kemahiran Tinggi Mara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, Mara kini memperketatkan disiplin kewangan termasuk mengeluarkan notis selepas bayaran tertunggak melebihi tiga bulan.

Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila menerima mesej seorang individu yang mengadu bapanya disenaraihitamkan Mara selepas menjadi penjamin pinjaman anak saudaranya.

“Apabila bapanya minta tolong anak saudaranya bayar melalui bapanya, boleh dia jawab ‘Malaslah nak bayar sebab Mara banyak songeh’.

“Masa nak mohon pinjaman merayu-rayu. Bila dah dapat manfaat, berjaya dan berkerjaya macam-macam alasan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menegaskan kegagalan membayar balik hutang bukan sahaja menyalahi tanggungjawab moral dan agama, malah menafikan hak pelajar miskin lain untuk menikmati manfaat pendidikan.

“Ingatlah bukan sahaja kamu berdosa kerana tidak membayar balik hutang pinjaman tapi kamu juga berdosa kerana menafikan hak orang lain.

“(Ini) terutamanya (bagi membantu) anak orang miskin, yatim dan susah mendapatkan manfaat dek kerana culasnya dari melunas hutang!,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |