MELAKA – Tindakan majikan sebuah tapak pembinaan membiarkan 190 pekerjanya tinggal dalam keadaan ‘koboi’ termasuk mandi secara terbuka tanpa pengasingan lelaki dan wanita terbongkar dalam serbuan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Tambak Paya di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, hasil pemeriksaan kesemua pekerja terbabit ditempatkan di empat blok kabin dan kontena yang dibina di tapak projek berkenaan.
“Dalam operasi bermula pukul 10.15 pagi dan berakhir 12 tengah hari tadi, kita berjaya mengesan tindakan tidak bertanggungjawab majikan yang gagal menyediakan kemudahan asas kepada 190 pekerja asing.
“Kita dapati tempat mandi pekerja dalam keadaan terbuka tanpa pengasingan lelaki dan wanita, tandas sangat kotor dan tiada privasi, ini jelas tidak mematuhi piawaian di bawah Akta 446,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di tapak pembinaan di Tambak Paya, di sini hari ini.
Tambahnya, pekerja malang itu juga hanya dibekalkan tilam yang terlalu nipis tanpa katil, almari dan dapur bersih.
Dalam pada itu Hee Sem memberitahu, semakan lanjut mendapati majikan terbabit pernah membuat permohonan bagi pengiktirafan penginapan pekerja di bawah Seksyen 24D Akta 446, namun ditolak susulan gagal memenuhi standard minimum ditetapkan.
“Kita turut kesan beberapa kesalahan lain seperti premis makanan dan kedai runcit beroperasi tanpa lesen serta dua kawasan pembiakan nyamuk yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
“JTK akan membuka kertas siasatan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Hee Sem berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kesihatan Negeri dan Polis Diraja Malaysia akan terus melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan setiap majikan mematuhi Akta 446. – KOSMO! ONLINE