Bersepai jalan tak ikut ‘pace’, terjemahan distopia terbaik 2025

4 hours ago 6

SUTRADARA Francis Lawrence kembali mengarah filem bercorak distopia horror menerusi filem terbaharu berjudul The Long Walk yang diadaptasi daripada novel terlaris tulisan Stephen King.

Sempat meluangkan sedikit masa menonton filem terbabit Selasa lalu pada tayangan awal bertempat di TGV Sunway Pyramid. Satu perkataan menggambarkan betapa penulis terpaku seawal minit pertama hingga ke penghujung filem adalah, sempurna.

Francis Lawrence merupakan antara pengarah kegemaran penulis secara peribadi dan filem kali ini, beliau memberikan keadilan secukup dan sewajarnya kepada kisah The Long Walk.

Daripada terjemahan karakter kepada sinematografi, aspek lontaran dialog dan alur cerita, semuanya diadun sempurna pasukan The Long Walk. Cukup luar biasa sehinggakan penulis tidak teragak-agak memberikan markah lebih 90 peratus seandainya filem ini adalah lembaran kertas jawapan peperiksaan.

Distopia, padanan karakter

Pertama sekali, terjemahan karakter. Sejujur, penulis tidak membaca atau mengikuti novel asal The Long Walk. Ulasan ini sepenuhnya daripada kemenjadian naskhah dari sudut pandang magis dunia sinematik.

Dua karakter utama, Raymond Garraty lakonan Cooper Hoffman dan Peter McVries (David Jonsson) memberikan persembahan sangat memukau. Seni berdialog antara mereka memang bertaraf Olimpik, wajar diberikan pujian.

Keserasian antara dua watak dijayakan cukup berkesan pelakon utama Cooper Hoffman (kiri) dan David Jonsson.

Bayangkan, naratif hanya tentang sekumpulan anak muda menyertai pertandingan berjalan sehingga hujungnya ada satu pemenang–bagaimana 108 minit durasi tontonan filem dihabiskan hanya untuk urusan itu.

Mereka perlu berjalan dan mengekalkan kelajuan (pace) sekurang-kurangnya tiga batu per jam (3 mph) atau berdepan risiko disingkirkan.

Disingkirkan di sini bermaksud mereka ditembak di bahagian kepala sehingga otak berkecai. Cukup ‘spoiler’ (bocoran awal) di situ.

Bukan hanya karakter utama Garraty dan McVries yang membekas, watak-watak sampingan lain juga termasuk Stebbins dan Hank Olson juga chef’s kiss. Olson yang dilakonkan Ben Wang antara yang mencuri tumpuan.

Visual 

Olson berwajah Asia dengan mulut umpama bertih jagung beraksen terpaling Amerika bertemu pengakhiran yang sangat memberi dampak dalam The Long Walk. Tabik spring buat pemain wataknya, Ben Wang.

Berikutnya, dari segi sinematografi dan skor bunyi dalam filem ini adalah padanan match made in heaven.

Babak cemas, sedih dan lelucon divisualkan dalam setiap babak bersesuaian dengan skor yang diadunkan. Terima kasih Jeremiah Fraites dan Jo Willems untuk dua urusan penting dalam kemenjadian fiem ini.

Selebihnya, tontonlah sendiri The Long Walk yang kini rancak diputarkan di pawagam-pawagam berdekatan. Jikalau kalian rindukan sentuhan Francis Lawrence yang mengarahkan filem Hunger Games, inilah masa untuk melampiaskan rasa tersebut.

Filem distopia genius yang membuatkan kita bersyukur untuk terus berjalan, mendepani hidup sementara dan seterusnya, berdamai dengan takdir hidup—itulah The Long Walk. Selayaknya 90/100!

Watak mejar bengis lakonan mantap Mark Hamill yang membuatkan ramai penonton kecut perut dan tidak senang duduk.
The Long Walk Pengarah: Francis Lawrence Pelakon: Cooper Hoffman, David Jonsson, Garrett Wareing, Ben Wang Durasi: 1 jam 48 minit Sumber: Lionsgate Tayangan: 11 September 2025 Bintang: ★★★★☆
Read Entire Article
Pertanian | | | |